POLIS mengambil tindakan ke atas 32 individu dan pemilik dewan badminton yang melanggar SOP PKP, kelmarin. FOTO Ihsan Polis.
POLIS mengambil tindakan ke atas 32 individu dan pemilik dewan badminton yang melanggar SOP PKP, kelmarin. FOTO Ihsan Polis.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Seramai 32 individu dikompaun RM1,500 setiap seorang kerana bermain badminton secara beramai-ramai di sebuah dewan badminton swasta di Jalan Skudai, di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, pihaknya turut mengenakan kompaun RM2,000 ke atas pemilik dewan badminton terbabit, ketika serbuan pada 5.35 petang kelmarin.

Katanya, serbuan dibuat susulan maklumat awam mengenai aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Hasil pemeriksaan mendapati seramai 32 orang berada di dewan itu itu sedang bermain badminton, sedangkan aktiviti sukan secara beramai-ramai dilarang Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang tempoh PKP 3.0.

"Mereka semua dibawa ke balai dan dikompaun kerana ingkar SOP termasuk tidak mematuhi penjarakan fizikal. Pemilik dewan juga dikompaun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, nilai keseluruhan kompaun RM50,000 dengan tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Rupiah turut menasihati masyarakat supaya mematuhi SOP dengan penuh disiplin bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 9:41 PM