FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kapasiti penumpang perkhidmatan feri bot laju Pulau Pinang akan dihadkan sehingga 50 peratus selain mengalami perubahan penjadualan perjalanan.

Keputusan itu dibuat susulan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula esok.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Tan Teik Cheng berkata, penguatkuasaan itu meliputi perkhidmatan feri penumpang bot laju antara Terminal Swettenham Pier Cruise (SPCT) dan Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth.

Katanya, ia turut membabitkan perkhidmatan feri bagi motosikal antara Pangkalan Raja Tun Uda, di sini, dan Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), Butterworth.

"Operator perkhidmatan feri Penang Port Sdn Bhd sudah diarahkan supaya mengehadkan kapasiti penumpang dan membuat penjadualan semula operasi susulan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memperketatkan SOP dalam menangani Covid-19.

"Perkhidmatan pengangkutan awam berkenaan adalah terpenting di Pulau Pinang dan SPPP menyokong langkah yang diambil kerajaan bagi mengekang penularan pandemik," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Bermula esok, perkhidmatan feri dari PSAH akan bermula pada jam 7 pagi dengan kekerapan selama 30 minit dan berakhir pada jam 7 malam.

Perkhidmatan feri bot laju dari SPCT pula akan bermula jam 7.30 pagi dan berakhir pada jam 7.30 malam dengan kekerapan perkhidmatan selama 30 minit.

"Jadual perkhidmatan itu akan berubah mengikut perkembangan semasa.

"Pengguna diharap bersabar dan memahami situasi sukar bagi memutuskan rantaian penularan pandemik ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 6:13 PM