Contoh katamaran atau teksi air dan 'vehicle transporter' yang akan digunakan selepas tempoh interim iaitu bermula 1 Julai 2022 atau mungkin lebih awal bagi menggantikan feri Pulau Pinang dan boleh mengangkut sehingga 200 penumpang dengan 40 kali perjalanan sehari. FOTO IHSAN PENANG PORT SDN BHD
Contoh katamaran atau teksi air dan 'vehicle transporter' yang akan digunakan selepas tempoh interim iaitu bermula 1 Julai 2022 atau mungkin lebih awal bagi menggantikan feri Pulau Pinang dan boleh mengangkut sehingga 200 penumpang dengan 40 kali perjalanan sehari. FOTO IHSAN PENANG PORT SDN BHD
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Perkhidmatan feri yang digunakan bagi menghubungkan kawasan tanah besar Seberang Perai dengan bahagian pulau negeri ini sejak 126 tahun lalu akan diganti dengan bot penumpang laju bermula 1 Januari depan.

Feri sedia ada pula hanya akan diguna sebagai medium pengangkutan kepada pengguna basikal dan motosikal bermula tarikh berkenaan.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Tan Teik Cheng berkata, penambahbaikan itu akan dilaksana secara interim bermula 1 Januari depan hingga 30 Jun 2022 sebelum perkhidmatan katamaran atau teksi air diperkenalkan selepas tarikh terbabit.

Katanya, dua bot laju yang akan digunakan itu mampu membawa 200 penumpang dengan kepantasan perjalanan antara 10 hingga 15 minit serta kekerapan sebanyak 40 kali sehari.

"Sepanjang tempoh itu, kedua-dua terminal di Pangkalan Raja Tun Uda, Georgetown dan Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth akan diubah suai dan dinaik taraf dengan terminal di Georgetown dipindahkan sementara ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT).

"Ia dilakukan bagi menyediakan perkhidmatan feri yang lebih cekap dan keselesaan terminal malah kita memberi jaminan bahawa tambang juga akan dikekalkan sepanjang tempoh perkhidmatan interim ini," katanya dalam sidang media di sebuah hotel di Pengkalan Weld, di sini, hari ini.

Tan berkata, perkhidmatan bot laju itu akan digantikan dengan feri baharu iaitu katamaran dan pengangkutan kenderaan selepas tempoh interim terbabit bermula 1 Julai 2022 atau mungkin lebih awal.

Katanya, sebanyak tiga katamaran akan disediakan dengan kemampuan membawa sehingga 200 penumpang dengan kepantasan antara 10 hingga 15 minit dengan kekerapan 40 kali sehari dengan pengendalian di bawah Penang Port Sdn Bhd (PPSB).

Menurutnya, pengangkutan kenderaan yang akan diperkenalkan pula hanya boleh digunakan pengguna basikal dan pembonceng motosikal dengan pengecualian kepada kenderaan empat roda bagi situasi kecemasan sahaja.

"Penggantian kepada bot jenis katamaran ini juga mengambil kira penjimatan yang dapat dilakukan memandangkan bot jenis ini mudah diselenggara.

"Berbanding feri sedia ada ketika ini, kos membaiki sebuah feri mencecah sehingga RM2.2 juta dan kita juga sukar mendapatkan alat ganti kerana perlu diimport dari Jerman dan Sweden.

"Keadaan menjadi lebih sukar bagi kita menyelenggara feri sedia ada tahun ini apabila kita turut berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 5:54 PM