Suspek berusia 15 tahun ditahan polis selepas melakukan aksi merbahaya di Mahsan. FOTO IHSAN PDRM
Suspek berusia 15 tahun ditahan polis selepas melakukan aksi merbahaya di Mahsan. FOTO IHSAN PDRM
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Mahu popular di media sosial dengan merakam aksi berbahaya menunggang motosikal sebelum video perbuatan itu dikongsi dalam akaun Instagram miliknya.

Tindakan remaja berusia 15 tahun itu bagaimanapun mengundang padah apabila dia akhirnya ditahan polis selepas video itu tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, rakaman video menerusi laman sosial Instagram itu memaparkan aksi suspek sedang menunggang motosikal model Honda EX5 secara berbahaya.

Katanya, remaja itu membuat aksi mengangkat tayar hadapan motosikal beberapa kali berhampiran sebuah stesen minyak di Mahsan di sini.

"Berikutan itu, polis membuat semakan terhadap nombor pendaftaran motosikal itu sebelum memeriksa kediaman remaja itu di Rumah Murah Taman Mahsan di sini, jam 2 pagi tadi..

"Suspek mengaku dia adalah penunggang motosikal di dalam video yang tular itu. Dia turut mengaku akaun Instagram berkenaan adalah miliknya," katanya.

Chang Hook berkata, suspek direman selama empat hari sehingga Isnin hadapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kes berasingan, dua suspek berusia 18 dan 20 tahun turut ditahan polis selepas menunggang motosikal secara berbahaya di Jalan FELDA Lui Muda di sini.

Katanya, suspek berusia 20 tahun bekerja sebagai mekanik dan suspek berusia 18 tahun baru sahaja tamat persekolahan.

"Kedua - dua suspek ditahan dirumahnya di FELDA Lui Muda pada jam 10 malam, Rabu lalu," katanya.

Chang Hook berkata, pengguna jalan raya diminta sentiasa mematuhi undang-undang selain tidak terbabit dalam aktiviti samseng jalanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 5:29 PM