Dadah dirampas polis dalam serbuan disebuah kebun getah di FELDA Lui Selatan Satu. FOTO Ihsan PDRM
Dadah dirampas polis dalam serbuan disebuah kebun getah di FELDA Lui Selatan Satu. FOTO Ihsan PDRM
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Bekerja sebagai penoreh getah namun pada masa sama menjadikan kebun getah berkenaan sebagai 'markas' membungkus dadah.

Itu taktik dilakukan dua lelaki bagi mengelak kegiatan jenayah dilakukan di kebun getah berhampiran Felda Lui Selatan Satu di sini, dikesan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kegiatan dua suspek warga tempatan itu bagaimanapun berjaya dibongkar polis susulan serbuan jam 4.05 petang semalam.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 35 dan 40 tahun didapati sedang membungkus dadah untuk dijual kepada penagih di kawasan berhampiran ketika serbuan dilakukan.

"Salah seorang suspek berperanan mendapatkan bekalan dadah manakala seorang lagi suspek berperanan sebagai penghantar dadah kepada pelanggan.

"Hasil serbuan itu, polis merampas empat bungkus plastik berisi dadah heroin dianggarkan seberat 22.50 gram serta empat paket plastik dadah syabu seberat 8.30 gram," katanya.

Chang Hook berkata, dua motosikal milik suspek turut disita.

Katanya, kedua-dua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 4:18 PM