GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Dua beranak antara lima tokan dadah yang ditahan polis pada lima serbuan berasingan dalam Op Tapis di sekitar daerah ini pada Rabu lalu.

Pasangan bapa dan anak berusia 56 serta 25 tahun itu turut memiliki beberapa rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

Mereka seolah-olah tidak serik mengedar dadah biarpun pernah dijatuhi hukuman penjara.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kelima-lima suspek yang juga penduduk tempatan ditahan antara jam 9 pagi hingga 11 malam di sekitar Bandar Seri Jempol, Felda Palong Empat, Bahau dan Mahsan.

"Kami turut merampas 624.15 gram heroin selain syabu seberat 201.26 gram daripada kesemua suspek dengan nilai keseluruhan lebih RM52,000.

"Dadah yang dirampas ditemui dalam kereta dan rumah suspek. Kesemua suspek aktif mengedar adah sejak setahun lalu dan kesemuanya mengenali antara satu sama lain," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol hari ini.

Chang Hook berkata, kesemua suspek ditahan di rumah, di tepi jalan dan simpang jalan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Sembilan dan Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol.

Katanya, ujian air kencing kesemua suspek positif dadah jenis morfin dan methamphetamine.

"Kesemua suspek direman tujuh hari bermula 10 Disember hingga 16 Disember. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Menurut beliau, pihaknya masih menyiasat dari mana suspek memperoleh bekalan dadah terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 6:53 PM