GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Dua puluh klinik swasta di Sabah akan dijadikan pusat vaksinasi Covid-19 oleh kerajaan negeri bagi menambah bilangan fasiliti berkenaan.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor pada kenyataan hari ini berkata, pusat vaksinasi sedia ada di negeri ini membabitkan pusat kesihatan dan bangunan kerajaan.

Katanya, pusat vaksinasi di Sabah membabitkan 24 buah hospital kerajaan, 28 klinik kerajaan dan 24 bangunan kerajaan.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri juga lega apabila rakyat Sabah mula menyedari kepentingan mengambil vaksin Covid-19 namun masih banyak perlu dilakukan bagi meningkatkan lagi jumlah rakyat mendaftar sebagai penerima vaksin.

"Setakat 19 Mei lalu, hanya 17 peratus daripada 498,392 rakyat Sabah sudah mendaftarkan diri untuk program vaksinasi Covid-19.

"Bagi tempoh sama, 59,904 orang sudah menyempurnakan dua dos manakala 96,371 orang pula sudah menerima suntikan pertama," katanya.

Sementara itu, Hajiji memaklumkan, kerajaan negeri hari ini, menerima sumbangan RM200,000 daripada syarikat pegangan pelaburan, Kanger International Bhd bagi membantu memerangi Covid-19.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengarah Eksekutifnya, Steven Kuah kepada Hajiji di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).

Mengulas lanjut, Hajiji berkata, Kanger International Bhd turut menawarkan sumbangan vaksin Sinopharm kepada kerajaan negeri.

"Bagaimanapun, kami hanya akan menerima tawaran vaksin itu selepas mendapat 'lampu hijau' daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)," katanya.

Setakat ini, Sabah sudah menerima 223,470 dos vaksin daripada Kerajaan Persekutuan untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 2:42 PM