FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kira-kira 60,000 petugas barisan hadapan dan 193,953 warga emas serta individu berisiko di Sabah layak menerima dos penggalak vaksin Covid-19.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata, pemberian dos penggalak di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) itu bermula hari ini dan dilaksana menerusi dua peringkat iaitu pertama, sehingga 20 November yang membabitkan petugas barisan hadapan.

Katanya, peringkat dua pula menyusul selepas itu yang membabitkan warga emas dan golongan berisiko.

"Walaupun pemberian dos penggalak adalah pilihan individu, ia sangat disarankan untuk mengambilnya bagi mendapatkan perlindungan optimum daripada virus Covid-19," katanya ketika melancarkan program itu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Terdahulu, Hajiji turut menerima suntikan dos penggalak di samping 40 petugas barisan hadapan.

Menurutnya lagi, ketika ini dos penggalak hanya membabitkan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech dan ditawar di fasiliti kerajaan dan swasta di bawah seliaan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd.

"Individu yang layak akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera atau disalurkan PPV melalui panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS)," katanya.

Dalam pada itu, Hajiji menggesa penduduk negeri itu supaya tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah Covid-19 susulan kelonggaran diberikan kerajaan termasuk merentas negeri.

Beliau turut meminta penduduk yang belum divaksin supaya tampil mendapatkannya bagi menjamin keselamatan semua.

Sehingga kelmarin, 70.8 peratus penduduk dewasa di Sabah lengkap vaksinasi, manakala 319,707 atau 73.67 peratus daripada 434,000 remaja berumur 12 tahun hingga 17 tahun menerima dos pertama dan 50.31 peratus lengkap dua dos.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 4:20 PM