Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Sebanyak 16,380 dos kumpulan pertama vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) Terminal Dua pada jam 12.38 tengah hari tadi.

Ia diterbangkan menggunakan pesawat Raya Airways jenis B767-223.

Pesawat TH314 terbabit berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah sekitar jam 10 pagi dan vaksin terbabit akan dihantar ke Pusat Simpanan Vaksin (PSV).

Antara orang yang menanti ketibaan vaksin terbabit ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Shahelmy Yahya; Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Christina Rundi.

Sementara itu, Masidi ketika ditemui media berkata, dijangkakan 42,117 petugas barisan hadapan tidak kira sama ada petugas barisan hadapan kesihatan atau bukan kesihatan akan menerima vaksin dalam fasa satu Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan ini.

MASIDI Manjun (tiga kanan) bersama Menteri Pembangunan Masyarakat & Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya (tiga kiri) dan Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi (kanan) ketika hadir menyambut ketibaan kumpulan pertama bekalan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech untuk Sabah di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA). FOTO Malai Rosmah Tuah
MASIDI Manjun (tiga kanan) bersama Menteri Pembangunan Masyarakat & Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya (tiga kiri) dan Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi (kanan) ketika hadir menyambut ketibaan kumpulan pertama bekalan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech untuk Sabah di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA). FOTO Malai Rosmah Tuah

"Secara keseluruhan Sabah menerima 104,130 dos vaksin yang akan dihantar dalam enam sesi penghantaran bermula hari ini (semalam).

"Selain kumpulan pertama vaksin yang sampai hari ini, kumpulan kedua vaksin sebanyak 9,360 dos pada 4 Mac, kumpulan ketiga 24,550 dos pada 11 Mac, kumpulan keempat sebanyak 3,510 dos pada 8 Mac, kumpulan kelima 18,720 pada 25 Mac dan kumpulan keenam sebanyak 31,590 pada 1 April nanti.

"Kita memilih tiga orang pertama yang akan menerima vaksin ini iaitu Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, Pengarah JKNS, Datuk Dr Christina Rundi dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali.

"Ketiga-tiga mereka akan menerima vaksin pada Majlis Perasmian Vaksinasi Covid-19 Peringkat Negeri Sabah yang dijadualkan pada 4 Mac nanti," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 2:27 PM