MASJID Ubudiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. FOTO arkib NSTP
MASJID Ubudiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. FOTO arkib NSTP
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah membatalkan hasrat baginda untuk berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama rakyat di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar pada 1 Syawal ini berikutan kebimbangan terhadap penularan tinggi wabak Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Perkara itu disahkan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini melalui satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Annuar berkata, Sultan Nazrin turut menzahirkan titah supaya mengenai pembatalan hasrat baginda untuk mengadakan acara jamuan Aidilfitri di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Menurutnya, baginda turut menzahirkan titah mengenai beberapa perkara berdasarkan status semasa penularan wabak Covid-19 di negeri ini selepas dipersembahkan Jabatan Kesihatan Negeri (KKM) dan Majlis Keselamatan Negeri (MKN).

"Solat sunat Aidilfitri dibenarkan dibuat di kawasan lapang dan terbuka dengan jumlah kehadiran tidak melebihi 50 jemaah dengan pematuhan penjarakan fizikal, di samping tidak membenarkan aktiviti ziarah kubur.

"Takbir raya dibolehkan di masjid dan surau, namun tidak dibenarkan secara dari rumah ke rumah, masjid serta surau boleh mengadakan solat sunat Aidilfitri dengan had jemaah berdasarkan ketetapan oleh KKM dan MKN.

"Kehadiran solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau terhad kepada warga Malaysia berusia 12 tahun ke atas sahaja, dan tiada jamuan di masjid, surau dan kawasan lapang terbuka selepas itu," katanya.

Menurutnya, Sultan Nazrin turut menzahirkan ingatan agar rakyat memahami tahap keseriusan penularan Covid-19 dengan mengambil tanggungjawab bantu memutuskan rantaian jangkitan.

Katanya, rakyat juga diminta menunjukkan simpati kepada petugas barisan hadapan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya kepada seluruh rakyat baginda dan mendoakan kesejahteraan dan ketabahan dalam menghadapi ujian Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 6:14 PM