Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Kuala Kangsar: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 190 jemaah di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, di sini, hari ini.

Baginda tiba di masjid itu pada 8.40 pagi disambut Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta beberapa kenamaan lain.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Datuk Seri Mohd Annuar Zaini.

Solat sunat berkenaan diimamkan oleh Badrul Husaini Baharuddin.

SULTAN Nazrin (kiri)  berangkat menunaikan Solat Sunat Aidiladha di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
SULTAN Nazrin (kiri) berangkat menunaikan Solat Sunat Aidiladha di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Pematuhan prosedur operasi standard SOP mengekang penularan wabak Covid-19 berada di tahap baik dengansetiap jemaah merekodkan kehadiran serta suhu badan dan membawa sejadah sendiri, manakala anggota polis dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) turut berkawal di perkarangan masjid.

Keberangkatan pulang Sultan Nazrin pada 9.23 pagi sebaik solat sunat selesai disempurnakan.

Terdahulu, media melaporkan Sultan Nazrin memberi titah perkenan agar Solat Jumaat dan sunat Aidiladha diadakan di masjid dan surau negeri ini mengikut keluasan dewan utama dengan mematuhi jarak fizikal ditetapkan dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa Kedua di Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 10:50 AM