Aizat Sharif


Kangar: Kemelut pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis belum ada noktah apabila Umno Bahagian Arau dan Padang Besar menolak Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man sebagai pengganti.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Arau Salim Dahaman berkata, pihaknya sukar untuk bekerjasama dengan Azlan yang didakwa tiada usaha atau bantuan untuk memperkasakan Umno Perlis.

"Jika beliau (Azlan) awal-awal lagi di saat sebagai Menteri Besar selama dua penggal sudah menjalin kerjasama dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis terdahulu (Datuk Seri Shahidan Kassim), kami boleh terima.

"Namun, beliau tak mahu pun bekerjasama dengan pengerusi dahulu, jadi macam mana kami nak kerjasama dengannya. Setiap kali mesyuarat perhubungan Umno Perlis, beliau bukannya nak hadir," katanya dalam sidang media di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya masih bersama Umno dan tidak akan meninggalkan parti itu, malah turut yakin bahawa Shahidan dengan mereka.

"Kami berharap Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dapat mempertimbangkan semula keputusan menggugurkan Shahidan.

Akar umbi UMNO Bahagian Arau diketuai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Arau, Salim Dahaman (duduk tiga dari kanan) menolak perlantikan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis yang baru. FOTO AIZAT SHARIF
Akar umbi UMNO Bahagian Arau diketuai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Arau, Salim Dahaman (duduk tiga dari kanan) menolak perlantikan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis yang baru. FOTO AIZAT SHARIF

"Pengalaman dan usaha Shahidan mendekati rakyat dalam menjaga kebajikan rakyat Perlis menjadi lambang kekuatan Umno Perlis selama ini," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Ketua Pemuda Umno Perlis, Harmizan Abd Halim dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Arau, Syed Atif Syed Abu Bakar menyambut baik keputusan pucuk pimpinan parti berhubung pelantikan Azlan.

"Ia diharap dapat membuka lembaran baru dalam lapangan politik negeri Perlis, sekali gus memantapkan penyelarasan gerak kerja politik yang berada dalam dilema akibat ada dua 'nakhkoda'," katanya.

Semalam, Azlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bintong dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis yang baharu menggantikan Shahidan selaku Ahli Parlimen Arau.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 5:20 PM