TUANKU Syed Sirajuddin menyerahkan watikah pelantikan Menteri Besar Perlis kepada Azlan di Istana Arau, hari ini. FOTO Amran Hamid
TUANKU Syed Sirajuddin menyerahkan watikah pelantikan Menteri Besar Perlis kepada Azlan di Istana Arau, hari ini. FOTO Amran Hamid
Muhammad Mustakim Ramli dan Aizat Sharif


DATUK Seri Azlan Man sah menjadi Menteri Besar Perlis untuk penggal kedua apabila mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di Balai Menghadap, Istana Arau, Arau, hari ini.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan itu berlangsung di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada 11.10 pagi.

Azlan Man, 60, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong dilantik sebagai Menteri Besar Perlis bagi penggal kedua selepas Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

PRU-14 menyaksikan BN berjaya meraih 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) menang tiga kerusi dan PAS dua kerusi.

Istiadat itu sekali gus menamatkan krisis perlantikan Menteri Besar Perlis yang masuk hari ke-14 selepas PRU-14 susulan tindakan Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan nama ADUN Tambun Tulan, Datuk Ismail Kassim, yang juga adiknya sebagai calon Menteri Besar baharu.

Sementara itu, walaupun istiadat mengangkat sumpah selesai, timbul persoalan apabila sembilan ADUN BN tidak hadir pada majlis hari ini dan difahamkan berada di Kuala Lumpur.

Sebaliknya, hanya tiga ADUN PH dan dua ADUN PAS yang hadir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 12:10 PM