SHAHIDAN umum Badan Perhubungan UMNO Negeri memecat Azlan sebagai ahli UMNO berkuat kuasa hari ini.
SHAHIDAN umum Badan Perhubungan UMNO Negeri memecat Azlan sebagai ahli UMNO berkuat kuasa hari ini.
Rohaniza Idris


SEMBILAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Perlis menolak pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar negeri itu.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim di ibu pejabat BN di Kuala Lumpur, hari ini.

Serentak itu, Shahidan mengumumkan Badan Perhubungan UMNO Negeri memecat Azlan sebagai ahli UMNO berkuat kuasa hari ini.

Keputusan pemecatan itu diputuskan sebulat suara UMNO Perlis yang bermesyuarat hari ini.

“Pemecatan itu sudah dimaklumkan kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini menjalankan tugas Presiden UMNO dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO,” katanya pada sidang media, hari ini.

Semua sembilan ADUN itu hadir pada mesyuarat berkenaan.

Terdahulu, UMNO Perlis bermesyuarat kira-kira dua jam dengan Zahid dan Hishammuddin.

Dengan pemecatan itu, Azlan kini menjadi Menteri Besar tanpa parti.

Pagi tadi, Azlan Man sah menjadi Menteri Besar Perlis untuk penggal kedua apabila mengangkat sumpah sebagai di Balai Menghadap, Istana Arau.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan itu berlangsung di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sekitar 11.10 pagi.

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) menyaksikan BN berjaya meraih 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH hanya tiga kerusi dan PAS dua kerusi.

Sebelum ini, Shahidan mengumumkan nama ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim, yang juga adiknya sebagai calon Menteri Besar yang baru.

Berikutan itu, sembilan ADUN BN tidak hadir pada majlis mengangkat sumpah itu, hari ini.

Sebaliknya tiga ADUN PH dan dua ADUN PAS yang hadir.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Raja Perlis murka'

'Azlan Man MB Perlis, 9 ADUN BN tak hadir'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 2:56 PM