Salim (duduk tiga dari kanan) dan penyokongnya menolak pelantikan Azlan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis yang baru. FOTO Aizat Sharif
Salim (duduk tiga dari kanan) dan penyokongnya menolak pelantikan Azlan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis yang baru. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif


Kangar: Kemelut pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis menunjukkan seakan tiada noktahnya apabila Umno Bahagian Arau dan Padang Besar menolak Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man sebagai pengerusi yang baru.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Arau, Salim Dahaman berkata, pihaknya sukar untuk bekerjasama dengan Azlan kerana didakwa tiada usaha atau bantuan diberikan untuk memperkasa Umno Perlis.

"Jika beliau (Azlan) awal-awal lagi di saat sebagai Menteri Besar selama dua penggal sudah menjalin kerjasama dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis terdahulu (Datuk Seri Shahidan Kassim), kami boleh terima.

"Namun beliau tak mahu pun bekerjasama dengan pengerusi dahulu jadi macam mana kami nak kerjasama dengan beliau.

"Sudahlah begitu, setiap kali mesyuarat perhubungan Umno Perlis, beliau bukannya nak hadir," katanya dalam satu sidang media di sebuah hotel di sini hari ini.

Katanya, pihaknya bagaimanapun akan terus bersama Umno dan yakin Shahidan juga akan kekal sedemikian.

"Umno Bahagian Arau berharap Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dapat mempertimbangkan semula keputusan menggugurkan Shahidan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis.

"Malah, kalau dilihat dari segi rekod pada Pilihan Raya Umum lalu, Umno Bahagian Arau dan Padang Besar mencatatkan keputusan cemerlang manakala Umno Kangar bawah Azlan pula mengalami kekalahan teruk apabila tiga kerusi termasuk kerusi Parlimen Kangar jatuh ke tangan pembangkang.

"Selain itu, pengalaman dan usaha Shahidan mendekati rakyat dalam menjaga kebajikan (rakyat) Perlis menjadi lambang kekuatan Umno Perlis selama ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Perlis, Harmizan Abd Halim dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Arau, Syed Atif Syed Abu Bakar menyambut baik keputusan pucuk pimpinan parti berhubung pelantikan Azlan ke jawatan berkenaan.

"Pelantikan ini diharap dapat membuka lembaran baru dalam lapangan politik Perlis yang sekian lama berada dalam dilema disebabkan masalah dua nakhoda mengemudi sebuah kapal," katanya.

Semalam, Azlan yang juga Menteri Besar Perlis dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bintong dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis yang baru menggantikan Shahidan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 3:07 PM