Hanizam Kechek (tengah) ketika melakukan tinjauan pematuhan bagi pelaksanaan SHMMP di Pasaraya NSK, Tanjung Agas, dekat sini. Foto Essa Abu Yamin
Hanizam Kechek (tengah) ketika melakukan tinjauan pematuhan bagi pelaksanaan SHMMP di Pasaraya NSK, Tanjung Agas, dekat sini. Foto Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


Muar: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor sudah mengeluarkan 18 kompaun ke atas peniaga kerana melakukan pelbagai kesalahan menerusi Op Pantau yang dilaksanakan di negeri itu.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Johor, Mohd Hanizam Kechek berkata, kompaun bernilai hampir RM2,000 itu dikeluarkan hasil operasi sejak 13 April lalu.

"Sepanjang lebih seminggu operasi dilaksanakan, 18 kes dikenal pasti membabitkan peniaga di bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya besar, pasar raya dan kedai runcit.

"Kompaun dikeluarkan kepada peniaga yang degil. Mereka sudah menerima notis atau teguran sebanyak dua kali namun masih ingkar.

"Selepas teguran kali kedua, KPDNHEP Johor bertindak tegas dengan memberikan denda sebagai teguran terakhir," katanya ketika sidang media selepas melakukan tinjauan pematuhan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di sebuah pasar raya dekat sini, hari ini.

Katanya, sebanyak 37 notis turut dikeluarkan melalui Op Pantau atas kesalahan berkaitan bekalan, harga jualan, penjualan barang tiruan dan pelbagai lagi yang tertakluk di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

"Ada juga peniaga berdepan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961, Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972 dan Akta Jualan Langsung dan Skim Piramid (AJLSAP) 1993.

"KPDNHEP memohon semua peniaga patuh dengan arahan dikeluarkan termasuk pelaksanaan harga mengikut SHMMP.

"Pengguna juga diminta untuk membuat aduan secara terus kepada KPDNHEP sama ada melalui sistem e-aduan atau hubungi talian 1-800-886-800 mahupun berhubung melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-2794317," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KPDNHEP Johor berpuas hati dengan pematuhan peniaga terhadap pelaksanaan SHMMP dan pemantauan akan terus dilaksanakan di seluruh Johor bagi memastikan hak pengguna terus terpelihara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 4:32 PM