S Ramakrishnan (kiri) bertanya sesuatu kepada peniaga bazar ketika tinjauan di Mini Stadium Pontian. FOTO Togi Marzuki
S Ramakrishnan (kiri) bertanya sesuatu kepada peniaga bazar ketika tinjauan di Mini Stadium Pontian. FOTO Togi Marzuki
Togi Marzuki

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengambil inisiatif dengan saranan kerajaan untuk memeriksa bazar Ramadan bagi mencegah kenaikan harga secara mendadak.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr S Ramakrishnan berkata, hasil pemeriksaan di bazar Ramadan Stadium Mini Pontian didapati harga dikenakan amat berpatutan, namun ada segelintir peniaga mempamerkan tanda harga kurang jelas yang berukuran kecil.

“Sehingga hari ini, KPDNHEP sudah memeriksa 5,986 premis dengan 38 amaran dan satu tindakan kes diambil terhadap peniaga yang masih gagal meletakkan tanda harga selepas amaran dikeluarkan.

“Bagaimanapun, sehingga hari ini juga KPDNHEP Johor masih belum menerima sebarang aduan atau laporan berkaitan harga barang secara berlebihan di bazar Ramadan,” katanya yang turut mengedarkan risalah senarai barangan harga terkawal kepada 127 peniaga di bazar Ramadan Mini Stadium Pontian, semalam.

Turut hadir, Pengarah KPDNHEP Johor, Hairul Anuar Bohro dan Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Johor, Zubir Hamsa.

Menurut Ramakrishnan, tarikh kuat kuasa harga barangan terkawal bermula 21 Mei hingga 19 Jun dan bagi melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa itu, pihaknya sudah melakukan 16 pemeriksaan di peringkat pemborong dan 343 peringkat peruncit.

Katanya, hasil pemeriksaan di peringkat pemborong terdapat satu tindakan kes diambil kerana menjual melebihi harga maksimum mengikut Sekyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Beliau berkata, pelaksanaan SHMMP adalah bagi mengawal harga barang keperluan ketika musim perayaan tertentu di negara ini.

Oleh itu, katanya, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada KPDNHEP melalui portal [email protected] atau WhatsApp ke 019-2794313.

Sementara itu, seorang peniaga, Amris Ali, 48, berkata dia menyambut baik lawatan KPDNHEP sebagai langkah bagi memastikan harga barangan berpatutan dan stabil.

“Pemantauan dan penguatkuasaan yang rapi sepanjang masa ini sekali gus dapat memastikan kestabilan harga barangan di pasaran.

“Tidak dinafikan, harga keperluan asas kadangkala naik turun, namun bagi kami harga tidak menentu itu bukan penghalang untuk terus menjalankan aktiviti perniagaan dan apa yang penting adalah menanam sikap tolak ansur dengan meletakkan harga berpatutan yang tidak membebankan pengguna,” katanya yang berniaga lauk-pauk hampir 10 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 9:45 AM