MOHD Ridzuan Ab Ghapar (dua dari kanan) ketika ditemui di Pasar Awam Bayan Baru, di sini, ketika mengadakan pemantauan bekalan dan harga barangan. FOTO Zuhainy Zulkiffli
MOHD Ridzuan Ab Ghapar (dua dari kanan) ketika ditemui di Pasar Awam Bayan Baru, di sini, ketika mengadakan pemantauan bekalan dan harga barangan. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang memberi jaminan bahawa bekalan bahan mentah terkawal di negeri ini mencukupi sepanjang Aidilfitri ini.

Pengarahnya Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pihaknya juga memberi jaminan bahawa bekalan bahan itu mencukupi jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negeri ini.

"Kita turut memberi jaminan bahawa tidak berlaku kenaikan harga bekalan bahan mentah terkawal itu serta sentiasa dipantau dan pengguna tidak perlu khuatir mengenainya.

"Sekiranya PKP dikuatkuasakan semula di negeri ini, kita juga tiada masalah mengenai bekalan dan harga," katanya kepada media hari ini.

Mohd Ridzuan ditemui selepas mengadakan tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 di Pasar Awam Bayan Baru, di sini, hari ini.

Sejak SHMMP 2021 dilancarkan mulai 21 April hingga semalam, sebanyak 1,448 pemeriksaan dijalankan di peringkat runcit dan borong.

Mohd Ridzuan berkata, daripada pemeriksaan itu, sebanyak 15 kes membabitkan pelbagai kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dilaporkan.

Katanya, sebanyak 14 notis mengikut Seksyen 21 AKHAP 2011 turut dikeluarkan kepada peniaga menerusi Op Rantaian Ayam yang dijalankan bagi mendapatkan maklumat mengenai kenaikan harga ayam.

"Menerusi Op Pantau, sebanyak 2,841 pemeriksaan dijalankan bagi meninjau pematuhan peniaga membabitkan bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di negeri ini.

"Sepanjang tempoh SHMMP, kita tidak menerima sebarang aduan berkaitan kenaikan harga barangan terkawal," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 5:13 PM