ZUBIR (tiga,kanan) memeriksa harga ayam standard pada pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 di Pasar Awam Besar Taman Tun Dr Ismail. FOTO BERNAMA
ZUBIR (tiga,kanan) memeriksa harga ayam standard pada pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 di Pasar Awam Besar Taman Tun Dr Ismail. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Peniaga yang masih berdegil dan gagal mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 akan dikenakan tindakan kompaun serta merta.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur Zubir Hamsa berkata, tindakan itu akan dikenakan kepada peniaga yang masih berdegil meskipun sudah diberikan amaran sebelum ini.

"Pada hari pertama pelaksanaan SHMMP (semalam), pihak KPDNHEP telah memberikan amaran kepada peniaga yang menaikkan harga.

"Selepas ini tiada lagi amaran, dan kompaun dikeluarkan sekiranya peniaga menjual barangan runcit dengan harga yang mahal," katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan di Pasar Awam Besar Taman Tun Dr Ismail di sini, hari ini.

Katanya SHMMP dilaksanakan sebagai langkah membendung kenaikan harga barangan keperluan semasa bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri yang dijangka disambut pada 13 atau 14 Mei depan di seluruh negara.

Merujuk kepada tinjauan pematuhan SHMMP semalam, Zubir berkata, sebanyak 275 premis diperiksa meliputi Pasar Awam Selayang, Pasar Awam Keramat, pasar raya serta kedai runcit di sekitar Kuala Lumpur.

Menurutnya, seramai lapan peniaga diberikan amaran atas kegagalan mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh kementerian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 6:56 PM