PENGUAT KUASA KPDNHEP Selangor menjalankan pemeriksaan ke setiap premis niaga di negeri ini. FOTO Ihsan KPDNHEP
PENGUAT KUASA KPDNHEP Selangor menjalankan pemeriksaan ke setiap premis niaga di negeri ini. FOTO Ihsan KPDNHEP
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Selangor mengeluarkan sejumlah 10 notis kepada peladang, pengeluar dan pemborong ayam sehingga semalam.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, notis itu dikeluarkan selepas pihaknya membuat pemeriksaan di lima premis membabitkan peladang, pengeluar dan pemborong menerusi Ops Catut 8.0 bermula 1 April lalu.

Pada masa sama katanya, hasil pemantauan dan analisa, pihaknya mendapati terdapat kenaikan harga Ayam Standard di semua premis bermula minggu kedua April.

"Semalam, harga ayam tertinggi adalah di sebuah pasar awam di Rawang iaitu RM9 hingga RM10 / sekilogram (kg), manakala harga terendah di sebuah pasar di Selayang iaitu RM 7.60/kg hingga RM8.90/kg.

"Bagi pasar raya besar atau pasar raya pula, harga tertinggi adalah RM7.49/kg hingga 8.79/kg iaitu sebuah pasaraya di USJ, manakala harga terendah di sebuah pasar raya di Seksyen 13 adalah RM5.99/kg.

"Hasil pemantauan mendapati, peniaga menyatakan kenaikan harga ayam berlaku di peringkat borong dan juga disebabkan oleh kenaikan harga makanan ayam di pasaran," katanya semalam.

Dalam pada itu katanya, KPDNHEP Selangor sudah menggerakkan 200 pegawai penguatkuasa bagi melakukan pemeriksaan dan pemantauan melalui Ops PANTAU terhadap bazar Ramadhan, bazar/ekspo Aidilfitri, pasar pagi / pasar tani / pasar awam, kompleks membeli belah / pasar raya, pemborong dan peruncit barangan keperluan.

"Operasi membabitkan sembilan daerah di seluruh Selangor yang bermula April hingga Mei depan ini bertujuan memastikan barangan keperluan pengguna mencukupi serta peniaga mematuhi kehendak dan keperluan undang-undang yang ditetapkan oleh KPDNHEP.

"KPDNHEP SELANGOR juga ingin memastikan tidak berlaku kenaikan harga barangan keperluan secara mendadak berikutan permintaan yang meningkat oleh pengguna.

"Ia juga bagi mencegah penindasan oleh peniaga terhadap manipulasi harga atau unsur-unsur pengambilan keuntungan yang tidak munasabah melalui peluang ketika rakyat berpusu-pusu untuk mencari barangan keperluan untuk menyambut Ramadhan dan Syawal," katanya.

Beliau berkata, bermula 1 April hingga 17 April lalu, KPDNHEP Selangor menjalankan pemeriksaan ke atas 4,064 premis dan gerai jualan.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati terdapat segelintir peniaga yang masih ingkar dalam membuat penandaan harga ke atas barangan jualan terutamanya di bazar-bazar dan juga pasar-pasar awam .

"Pihak KPDNHEP sudah mengambil tindakan ke atas peniaga yang ingkar di mana sejumlah 11 kes membabitkan kesalahan penandaan harga bagi tempoh yang sama.

"KPDNHEP turut meninjau keberadaan bekalan barangan keperluan asas pengguna seperti beras, gula, tepung gandum, minyak masak, ayam, daging, ikan, sayur-sayuran, roti, pelitup muka, handsanitizer serta barangan kering yang lain masih mencukupi dan mudah untuk diperolehi di pasaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 6:38 PM