GAMBAR hiasan. FOTO ASWADI ALIAS
GAMBAR hiasan. FOTO ASWADI ALIAS
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sejumlah 62 premis membabitkan pembekal dan peruncit ayam diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor sejak 13 September hingga semalam, susulan peningkatan harga ayam di beberapa tempat di negeri ini.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, hasil pemeriksaan di premis runcit seperti pasar awam, pasar basah dan pasar raya mendapati peniaga ayam memberi kerjasama baik untuk membuat semakan semula dan menurunkan harga jual.

"Sejumlah 56 premis bersetuju membuat perubahan harga (penurunan harga) serta-merta, manakala enam lagi premis setuju secara bersyarat menurunkan harga iaitu apabila pembekal dapat menjual dengan harga borong lebih rendah.

"Situasi pergerakan harga menunjukkan peningkatan adalah asas kepada tindakan pemeriksaan. Justeru, tindakan pengeluaran Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan AKHAP 2011 boleh dilaksanakan kepada pengeluar, pemborong dan peruncit ayam untuk mendapatkan maklumat terperinci yang menyumbang kepada kenaikan harga ayam di pasaran," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, peniaga dikesan mengambil kesempatan menaikkan harga ayam tanpa mematuhi perundangan Antipencatutan akan diambil tindakan tegas mengikut Seksyen 14(1), AKHAP 2011.

Katanya, pemeriksaan turut memfokuskan kepada aspek pematuhan menyelenggara dan menyimpan rekod perniagaan ayam sepanjang beroperasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 8:18 PM