Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis akan mengenakan tindakan terhadap mana-mana anggota jika terbabit dalam kes menyalahgunakan tandatangan surat kebenaran rentas negeri dari Balai Polis Seksyen 6, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan siasatan terhadap kes terbabit masih berjalan untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

"Dalam kes di Balai Seksyen 6 itu, kita dapati tandatangan itu dibuat bukan dari Ketua Polis Balai Seksyen 6, tetapi kita kena ingat borang boleh diperoleh dan dimuat naik di mana-mana.

"Polis masih lagi menyiasat kebenaran sama ada ia diperoleh dari balai ataupun sebaliknya, jika ada anggota polis yang terbabit (dalam kes itu), anggota itu akan dikenakan tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perjumpaan bersama empat anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang menerima Surat Penghargaan di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan IPD Shah Alam membuka kertas siasatan berhubung sekeping borang rentas negeri kosong dengan tandatangan Penolong Ketua Balai Polis Seksyen 6 yang tular 8 April lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Superintendan Ramsay Embol dalam kenyataan dipetik berkata, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Mengulas mengenai penguatkuasaan Sekatan Jalan Raya (SJR) sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri, Arjunaidi berkata, pihaknya akan memperketatkan kawalan di semua kawasan sempadan negeri.

"Menjelang Ramadan dan Aidilfitri nanti sudah tentu akan berlaku pergerakan, jadi kita akan beri penekanan supaya pergerakan rentas negeri tidak boleh berlaku sewenang-wenangnya.

"Polis akan memperketatkan supaya mereka tidak melanggar peraturan yang ditetapkan, kalau kerajaan kata tidak boleh rentas negeri, maka tidak boleh," katanya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai polis dari Balai Polis Sg Way, Aizuddin Rozani di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai polis dari Balai Polis Sg Way, Aizuddin Rozani di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL

Arjunaidi berkata, keperluan penambahan SJR juga bergantung kepada keperluan dan situasi semasa.

"Kita tengok kepada keperluan untuk tambah SJR... yang ada sekarang ini untuk mengelakkan rentas negeri.

"Kena tengok juga keperluan yang ada... sama ada kita tambah, itu kita akan kaji dari masa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 3:23 PM