Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis Selangor menumpaskan satu sindiket perlombongan bitcoin yang menggunakan sumber elektrik secara haram dengan penangkapan sembilan lelaki tempatan, Selasa lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, penahanan sembilan suspek terbabit membawa kepada 30 serbuan premis serentak pada hari sama di lapan daerah di negeri ini.

Menurutnya, operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama BSJ daerah dan 16 pasukan SEAL Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor.

"Dalam operasi itu, sembilan lelaki dipercayai berperanan sebagai juruteknik mesin yang berumur antara 18 hingga 27 tahun ditahan.

"Polis merampas 2,137 unit mesin perlombongan bitcoin, 10 unit komputer riba, lima set komputer serta enam unit grafik kad 'mining ethereum' .

"Nilai keseluruhan mesin bitcoin dirampas adalah RM1.28 juta (sebuah mesin bernilai RM600)," katanya pada sidang media di IPK Selangor, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jurutera (SEAL TNB), Megat Nasaruddin Megat Mazelan dan Ketua JSJ Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal.

ARJUNAIDI (dua dari kiri) menunjukkan mesin dirampas daripada sindiket perlombongan bitcoin pada sidang media di IPK Selangor, hari ini. FOTO FAIZ ANUAR
ARJUNAIDI (dua dari kiri) menunjukkan mesin dirampas daripada sindiket perlombongan bitcoin pada sidang media di IPK Selangor, hari ini. FOTO FAIZ ANUAR

Arjunaidi berkata, siasatan mendapati nilai kerugian TNB akibat aktiviti mencuri sumber elektrik berjumlah RM24,360.00.

Beliau berkata, ia menjadikan nilai keseluruhan mesin dirampas dan penggunaan elektrik sebanyak RM25.64 juta.

"Suspek direman selama dua hingga empat hari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990.

"Polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui dalang kepada kumpulan yang menjalankan aktiviti dengan skala besar di Selangor.

"Pihak JSJ IPK Selangor mula menjalankan risikan terhadap sindiket ini sejak Jun lalu dan dipercayai beroperasi dalam tempoh 12 bulan bermula September tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, pasukan operasi dipandu arah oleh suspek yang menunjukkan premis bitcoin di bawah kawalan mereka yang berperanan sebagai juruteknik mesin.

Menurutnya, TNB mengesahkan berlaku kecurian elektrik di premis terbabit dan rampasan mesin bitcoin dibuat bagi tujuan siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 1:46 PM