Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis Selangor melaksanakan 120 sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negeri itu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa hari ini sehingga 26 Januari.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, SJR itu membabitkan jalan keluar masuk bagi rentas daerah dan negeri dan jumlahnya tidak jauh berbeza daripada PKP terdahulu.

"Dari segi bilangan penugasan anggota, bergantung pada arahan dan prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa," katanya di sini, hari ini.

Arjunaidi berharap orang awam memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab menguatkuasakan SOP PKP dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

Katanya, dengan pengalaman PKP pertama tahun lalu, beliau yakin, masyarakat akan mampu melakukan dengan baik pada kali ini.

"Kita sudah melalui PKP sebelum ini, patuhilah peraturan yang ditetapkan, tidak perlu pembelian panik sebab barang mencukupi, bukan tidak benarkan beli barang, cuma ada SOP, itu saja.

"Kita juga tidak berkompromi pada yang ingkar sudah tidak mematuhi SOP yang sudah ditetapkan," katanya.

ANGGOTA polis dibantu tentera melakukan pemeriksaan di SJR Jalan Kuala Selangor berhampiran Sungi Buloh susulan PKP bermula hari ini. FOTO Mahzir Mat Isa.
ANGGOTA polis dibantu tentera melakukan pemeriksaan di SJR Jalan Kuala Selangor berhampiran Sungi Buloh susulan PKP bermula hari ini. FOTO Mahzir Mat Isa.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 11:07 AM