Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Ampang Jaya: Hanya tiga individu dikesan cuba merentas daerah tanpa kebenaran di Selangor pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, individu itu ditahan ketika sekatan jalan raya (SJR) dan diarah berpatah balik.

Katanya, semalam juga pihaknya mengeluarkan 118 kompaun kepada mereka yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan.

"Apa yang paling penting adalah kita ingat tiga perkara utama iaitu pakai pelitup muka, jaga jarak dan elakkan berkumpul di tempat sesak," katanya pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya di sini, hari ini.

Noor Azam berkata, sebanyak 63 SJR dilaksana dalam tempoh 24 jam dan penumpuan diberikan terhadap sempadan daerah dan zon merah.

ANGGOTA polis bersama tentera melakukan pemeriksaan sekatan jalan raya di Klang. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
ANGGOTA polis bersama tentera melakukan pemeriksaan sekatan jalan raya di Klang. FOTO Muhd Asyraf Sawal.

Katanya, orang ramai yang mempunyai urusan penting atau bekerja di daerah lain perlu mempunyai surat kebenaran atau pas bekerja.

"Untuk mereka yang mempunyai hal kecemasan boleh mendapatkan kebenaran rentas daerah atau negeri dari mana-mana balai polis berhampiran lokasi mereka," katanya

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 2:01 PM