HELIKOPTER Airbus H125 yang terhempas dibawa ke hangar Airbus di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang (gambar fail). FOTO Arkib NSTP
HELIKOPTER Airbus H125 yang terhempas dibawa ke hangar Airbus di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang (gambar fail). FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Laporan siasatan Helikopter Airbus AS350 B3 yang terhempas berhampiran hangar Airbus Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang di sini, kelmarin akan diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan dalam tempoh 30 hari.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, satu pasukan penyiasat bebas akan menjalankan siasatan dan laporan itu akan dihantar kepadanya dalam tempoh sebulan.

"Kita tidak mahu membuat sebarang spekulasi lagi berhubung punca insiden itu namun perkara ini dipandang serius oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

"Kita tidak mahu kejadian sama berulang lagi disebabkan kecuaian atau sebab lain," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pas Perjalanan Bulanan Tanpa Had RM5 (MyRail5) di Kl Sentral, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Mohd Rani Hisham Samsudin.

Ka Siong berkata, CAAM akan memanggil satu sesi taklimat kepada pengendali helikopter tempatan, organisasi penyelenggaraan dan juruterbang helikopter bagi memastikan undang-undang serta peraturan dipatuhi sepenuhnya.

"Mereka yang membawa helikopter ini bukan sebarangan, ia tertakluk kepada peraturan protokol yang cukup jelas dan jika perlu mematuhinya 100 peratus," katanya.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Kapten Chiester Voo dilaporkan berkata, pihaknya akan melaksanakan taklimat pematuhan peraturan keselamatan kepada pengendali helikopter tempatan, organisasi penyelenggaraan dan juruterbang helikopter bagi memastikan undang-undang serta peraturan dipatuhi sepenuhnya.

Harian Metro kelmarin melaporkan Helikopter Airbus AS350 B3 yang terhempas berhampiran hangar Airbus Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang di sini, dilaporkan berlepas dari Sungai Lembing, Pahang.

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan berkata, helikopter itu dikendalikan oleh Leopad Aviation Sdn Bhd berlepas dari Sungai Lembing, Pahang pada 8.30 pagi untuk penerbangan persendirian ke Subang melalui Maran, Temerloh, Karak dan Batu Caves.

Siasatan lanjut akan dilaksanakan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 12:46 PM