CAAM mengesahkan kemalangan helikopter dekat Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.
CAAM mengesahkan kemalangan helikopter dekat Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.
Muhaamad Hafis Nawawi


Subang Jaya: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan insiden kemalangan helikopter jenis Leonardo S.p.A AW189, nombor pendaftaran 9M-BOF di kawasan apron UniKL MIAT Hangar dekat Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Norazman Mahmud berkata, helikopter yang dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu sedang menjalani ujian penerbangan.

Menurutnya, menara kawalan trafik udara Subang menerima laporan kemalangan pada 11.52 pagi dan Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) bertindak segera terhadap insiden terbabit.

"Terdapat tujuh penumpang termasuk juruterbang dalam helikopter terbabit dan kesemuanya dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

"Siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berita berkaitan: 3 pegawai bomba, 4 jurutera cedera

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 2:52 PM