Helikopter jenis Airbus H125 yang terhempas di kawasan kargo Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang menyebabkan seorang juruterbang dan pembantunya cedera manakala tiga penumpang terselamat. FOTO IHSAN BOMBA SELANGOR
Helikopter jenis Airbus H125 yang terhempas di kawasan kargo Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang menyebabkan seorang juruterbang dan pembantunya cedera manakala tiga penumpang terselamat. FOTO IHSAN BOMBA SELANGOR
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Subang: Helikopter Airbus AS350 B3 yang terhempas berhampiran hangar Airbus Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang di sini, dilaporkan berlepas dari Sungai Lembing, Pahang.

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan berkata, helikopter itu dikendalikan oleh Leopad Aviation Sdn Bhd berlepas dari Sungai Lembing, Pahang pada 8.30 pagi untuk penerbangan persendirian ke Subang melalui Maran, Temerloh, Karak dan Batu Caves.

"Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan berlaku kemalangan terhadap helikopter dikendalikan seorang juruterbang dan empat penumpang pada 9.25 pagi.

"Dua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan sedang menerima bantuan perubatan sementara tiga lagi mangsa berada dalam keadaan stabil," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, siasatan lanjut akan dilaksanakan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor dilaporkan berkata, dua individu cedera manakala tiga terselamat dalam kejadian berkenaan.

Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 9.47 pagi.

"Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik dengan lima pegawai dan anggota bergegas ke lokasi.

"Sebaik tiba di lokasi terdapat lima mangsa dalam keadaan stabil dan helikopter berkenaan tidak mengalami kebakaran," katanya

Berita berkaitan

Helikopter terhempas: Juruterbang, pembantu cedera di kaki

Helikopter terhempas, 2 cedera

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 1:51 PM