SEBAHAGIAN badan helikopter yang terhempas dibawa ke hangar di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang, semalam. FOTO Aizuddin Saad
SEBAHAGIAN badan helikopter yang terhempas dibawa ke hangar di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang, semalam. FOTO Aizuddin Saad
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan mengambil tindakan segera bagi mengatasi isu keselamatan membabitkan pengoperasian helikopter di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Chiester Voo berkata, pihaknya akan melaksanakan taklimat pematuhan peraturan keselamatan kepada pengendali helikopter tempatan, organisasi penyelenggaraan dan juruterbang helikopter bagi memastikan undang-undang dan peraturan dipatuhi sepenuhnya.

"Kemalangan yang berlaku semalam adalah kemalangan ketiga membabitkan helikopter dalam tempoh kurang enam bulan, CAAM akan mengambil tindakan segera bagi mengatasi isu keselamatan ini.

"Taklimat pematuhan peraturan keselamatan ini akan merangkumi latihan pengurusan keselamatan, mengenal pasti sebarang perkara berbahaya serta faktor dan penilaian risiko keselamatan untuk dipertimbangkan dalam pengurusan keselamatan bagi semua pihak termasuk organisasi kecil," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas berhubung kemalangan helikopter berkenaan, beliau berkata, Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia akan mengenal pasti punca-punca dari siasatan yang dijalankan.

"CAAM akan melaksanakan latihan untuk memastikan risiko seperti ini dapat dikurangkan seterusnya mengelak kejadian serupa berulang pada masa depan.

"Ingin dijelaskan semua pengendali helikopter di Malaysia sudah diperiksa sepenuhnya malah mereka diwajibkan memiliki lesen sah serta sijil-sijil penyelenggaraan bagi memastikan kelayakan juruterbang adalah sahih selain kelayakan untuk menerbangkan helikopter mereka," katanya.

Berita berkaitan:

  • 'Saya tidak pernah dengar bunyi begitu kuat'
  • Helikopter berlepas dari Sungai Lembing, Pahang
  • Juruterbang, pembantu cedera di kaki
  • Helikopter terhempas, 2 cedera [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 12:04 PM