HELIKOPTER yang terhempas di Cameron Highlands berhampiran Tanah Rata. FOTO ihsan JBPM.
HELIKOPTER yang terhempas di Cameron Highlands berhampiran Tanah Rata. FOTO ihsan JBPM.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Unit mencari dan menyelamat melalui jalan darat digerakkan ke lokasi helikopter terhempas di Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang selepas 19 minit berlaku kejadian.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Chester Voo berkata, ia sebagai usaha mencari dan menyelamat mangsa.

Menurutnya, pihaknya mengesahkan menerima maklumat berhubung kemalangan udara membabitkan sebuah helikopter jenis Airbus AS 355 F2 dengan nombor pendaftaran 9M-SSW berhampiran Tanah Rata, pada 1.03 petang hari ini.

Katanya, helikopter berkenaan dikendalikan oleh Layang Layang Aerospace Sdn Bhd berlepas dari Kampung Gawin ke Tanjung Rambutan, Perak pada 12.20 petang.

"Pesawat berkenaan dikendalikan seorang juruterbang dengan membawa lima penumpang," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Voo berkata, Pusat Kawalan Operasi Kecemasan (EOC) CAAM dan Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautial (ARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) di Sepang diaktifkan segera pada 1.11 petang.

Katanya, siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2022 @ 4:34 PM