KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan di Bulatan Jalan Indah. FOTO ihsan polis
KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan di Bulatan Jalan Indah. FOTO ihsan polis
Omar Ahmad


Iskandar Puteri: Pemandu Perodua Myvi cedera selepas kenderaan itu hilang kawalan semasa memasuki Bulatan Jalan Indah, Taman Bukit Indah, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, kereta berkenaan bergerak lurus pada bulatan menyebabkan ia 'terbang' merempuh pagar bunga dan seterusnya melintasi longkang besar sebelum melanggar pokok.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, akibat kejadian itu, pemandu berusia 27 tahun luka di muka dan tangan.

"Siasatan mendapati punca kemalangan disebabkan pemandu hilang kawalan semasa memasuki bulatan. Pemandu bergerak lurus merempuh pagar bunga seterusnya melintasi longkang besar, melanggar pokok dan berhenti.

"Akibat perlanggaran itu, pemandu tersepit di kaki dan bomba mengeluarkan mangsa dari kenderaan. Mangsa tidak mabuk dan tidak berada dalam pengaruh dadah.

"Mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dengan menaiki ambulans," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, semasa kejadian, jalan dua lorong sehala itu adalah kering serta berlampu.

Katanya, kenderaan itu kemek di bahagian hadapan, bonet dan beberapa lagi kerosakan.

"Kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN166/59," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 9:42 PM