KEADAAN motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Pintasan Semeling-Bedong, Sungai Petani, semalam. FOTO Ihsan JBPM
KEADAAN motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Pintasan Semeling-Bedong, Sungai Petani, semalam. FOTO Ihsan JBPM
Nor Farhani Che Ad


LELAKI maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta dari arah bertentangan di Jalan Pintasan Semeling-Bedong, Sungai Petani, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu, mangsa Mohammed Naim Jamil, 30, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pacuan empat roda Toyota Hilux dari arah Semeling menghala ke Bedong memasuki laluan bertentangan secara tiba-tiba.

“Kenderaan terbabit yang dipandu dengan laju hilang kawalan sehingga melanggar motosikal mangsa yang datang dari arah Bedong menghala ke Semeling secara berhadapan.

“Mangsa dipercayai tidak sempat mengelak disebabkan jarak terlalu dekat menyebabkannya meninggal dunia serta merta di tempat kejadian,” katanya.

Adzli berkata, pemandu pikap terbabit turut mengalami kecederaan parah dan diletakkan di Zon Merah Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati, kawasan tempat kejadian berada dalam keadaan gelap dan tidak berlampu.

“Mayat mangsa dibawa ke HSAH untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 11:47 AM