GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Tiada penjarakan fizikal menyumbang tangkapan tertinggi ingkar prosedur operasi standard (SOP) dalam operasi pematuhan di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada 780 individu yang ditahan, seramai 152 individu ditahan atas kesalahan itu.

Menurutnya, seramai 137 individu ditahan atas kesalahan tidak memakai pelitup muka manakala gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (135), tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan (70), bawa penumpang berlebihan (54) dan lain-lain (232).

Katanya, daripada keseluruhan tangkapan itu, 748 individu dikenakan kompaun selain 32 individu lagi direman.

"Operasi pematuhan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih terus ditingkatkan dengan penguatkuasaan dilaksanakan secara holistik membabitkan semua peringkat.

"Namun sejak akhir-akhir ini, kita menyaksikan jumlah individu yang ditahan atas pelanggaran SOP masih tinggi iaitu melebihi 800 orang sehari.

"Justeru, saya berharap kita semua patuhi SOP yang ditetapkan kerana tanggungjawab mengekang penularan Covid-19 memerlukan kerjasama segenap lapisan rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng semalam menahan lima pendatang asing tanpa izin (Pati) dan merampas sebuah kenderaan darat.

Katanya, dalam operasi sama, sebanyak 195 bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui 10 aktiviti penglihatan selain 12 Pati diusir melalui tiga aktiviti pengusiran.

Selain itu, beliau berkata, seramai 544 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara.

"Semalam juga, seramai 25 warga asing menjalani ujian saringan dan tiada kes positif Covid-19 direkodkan. Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 698,977 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 membabitkan 36,230 majikan. Daripada jumlah itu, 10,351 individu disahkan positif," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 7:29 PM