FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
M Hifzuddin Ikhsan


Jitra: Kerajaan memberi jaminan bekalan telur di pasaran tempatan adalah selamat untuk dimakan berikutan penemuan bakteria Salmonella Enteritidis (SE) oleh pihak berkuasa Singapura hanya membabitkan sebuah ladang sahaja.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai tindakan Agensi Makanan Singapura (SFA) mengarahkan telur dikeluarkan di Lay Hong Berhad Layer Farm di Jeram, Selangor, ditarik balik dari pasaran negara itu.

Katanya, beliau akan mendapatkan maklumat lanjut dan laporan penuh daripada agensi penguatkuasaan tempatan berkaitan tindakan SFA bagi memastikan keselamatan pengguna adalah terjamin.

"Daripada maklumat awal yang diterima, kejadian ini hanya membabitkan satu ladang dan kumpulan pengeluaran tertentu sahaja dengan ladang tersebut sudah dimaklumkan mengenai tindakan yang diambil SFA.

"Kita kena faham masalah ini hanya membabitkan ladang tertentu dan ia bukan wabak di semua ladang di Malaysia, secara umum telur di pasaran (Malaysia) masih selamat," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri program Penyerahan Bantuan Banjir Tabung Bencana Tanaman Padi Bulan September dan Oktober 2020 di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) H-II Jitra.

Kiandee berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan lengkap berkaitan kejadian berkenaan secepat mungkin bagi menjelaskan keadaan sebenar kepada orang ramai.

Kelmarin, SFA mengarahkan empat pengimport untuk menarik balik telur dari Lay Hong Berhad Layer Farm di pasaran negara itu sebagai langkah berjaga-jaga.

Kenyataan yang dikeluarkan di laman sesawang SFA menyatakan arahan itu dibuat berikutan penemuan bakteria Salmonella Enteritidis (SE) pada produk berkenaan yang boleh menyebabkan penyakit disebabkan makanan, jika ia dimakan secara mentah atau separuh masak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 6:24 PM