PEMBELI memilih telur di kedai pemborong di Kuala Lumpur. Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mendapati tiada bakteria Salmonella enteritidis (SE) dikesan pada konsainan telur di ladang penelur CES 008 kepunyaan Lay Hong Bhd. FOTO Hazreen Mohamad
PEMBELI memilih telur di kedai pemborong di Kuala Lumpur. Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mendapati tiada bakteria Salmonella enteritidis (SE) dikesan pada konsainan telur di ladang penelur CES 008 kepunyaan Lay Hong Bhd. FOTO Hazreen Mohamad
Bernama)

Putrajaya: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mendapati tiada bakteria Salmonella enteritidis (SE) dikesan pada konsainan telur di ladang penelur CES 008 kepunyaan Lay Hong Bhd.

DVS dalam kenyataan memaklumkan bahawa siasatan lanjut dijalankan susulan isu pengesanan SE pada konsainan telur eksport oleh Agensi Makanan Singapura (SFA).

Menurut DVS, pengambilan sampel calitan kloaka, calitan najis, sampel telur, makanan dan airminuman daripada ladang ayam penelur tersebut telah diambil untuk ujian pengesanan SE di makmal DVS Salak Tinggi.

"Hasil pengujian makmal ke atas sampel menunjukkan tiada bakteria Salmonella dikesan.

"Sehubungan itu, DVS akan mengadakan perbincangan lanjut bersama pihak SFA bagi membincangkan perkara tersebut," menurut kenyataan itu hari ini.

Selain itu, DVS memaklumkan pihaknya turut menjalankan siasatan dan pengambilan sampel ke atas ladang CEM 014 untuk ujian pengesanan SE.

DVS memaklumkan menerusi Program Survelan Penyakit Haiwan Kebangsaan, pihaknya akan mempertingkatkan program pemantauan Salmonella di semua 276 ladang ayam penelur di seluruh negara bagi memastikan bekalan dan keselamatan telur yang dipasarkan.

Pencemaran SE dilaporkan berlaku hampir di seluruh dunia boleh terjadi sama ada di peringkat ladang disebabkan amalan penternakan yang kurang baik daripada aspek biosekuriti dan kebersihan ladang selain pencemaran di sepanjang rantaian pemasaran telur disebabkan pengendalian telur kurang bersih.

Justeru, DVS menasihati pengguna agar memastikan telur dibeli adalah bersih, tiada pencemaran najis, disimpan di tempat sesuai dan dimasak sempurna sebelum dimakan kerana SE boleh musnah pada suhu melebihi 71 darjah Celcius.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 4:42 PM