Amir Abd Hamid


Serdang: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) setakat ini hanya menerima maklumat dari Singapura berkenaan dua ladang sahaja di negara ini berhubung isu telur ayam didakwa dicemari bakteria Salmonella Enteritidis (SE).

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mendapati keputusan negatif bakteria berkenaan di ladang Lay Hong Berhad Layer Farm Jeram.

Difahamkan, sampel ladang Linggi Agriculture pula sedang menunggu keputusan.

"Kita memiliki 276 ladang ayam di seluruh negara, yang dikenal pasti hanya dua (dakwaan penemuan SE).

"DVS sudah keluarkan kenyataan semalam. Dijelaskan kajian dibuat oleh DVS mendapati SE tidak ditemui dalam ladang yang disebutkan.

"Tentu sekali maknanya pencemaran itu bukan di pihak ladang. Kami akan siasat lebih lanjut mengenai perkara itu dan tentu sekali memerlukan lebih maklumat daripada pihak Singapura," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perasmian Konvensyen Kebangsaan Kejuruteraan Pertanian Dan Makanan (NAFEC 2021) dan pelancaran buku Kejuruteraan Makanan di Ibu Pejabat Mardi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Mafi sudah meminta DVS untuk terus memantau keadaan untuk memastikan bahawa telur yang dipasarkan di negara ini atau yang dieksport bebas daripada pencemaran SE.

Media 20 Mac lalu melaporkan Agensi Makanan Singapura (SFA) mengarahkan beberapa pengimport untuk menarik balik telur dari Linggi Agriculture di Malaysia, selepas mengesan adanya Salmonella Enteritidis (SE) dalam produk terbabit.

Portal berita CNA melaporkan, itu kali kedua dalam masa seminggu SFA menarik balik telur dari ladang di Malaysia kerana pencemaran SE.

Pada 12 Mac, penarikan balik diumumkan untuk telur dari Lay Hong Berhad Layer Farm Jeram.

Sejak itu pihak berkuasa Malaysia melancarkan siasatan terhadap syarikat itu.

Dalam satu kenyataan medianya, SFA menyatakan ladang Linggi Agriculture digantung operasi dan penggantungan terbabit akan ditarik balik hanya apabila ladang itu memperbaiki masalah pencemaran SE.

GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP

Telur yang terjejas mempunyai kod 'CEM014' yang tertera pada kulitnya.

Pengimportnya ialah An Hong Egg Supplies, Chuan Huat Poultry Farm Pte Ltd, Dasoon Pte Ltd dan FE Supply Pte Ltd.

Orang ramai yang sudah membeli telur terbabit kini disarankan untuk memasaknya dengan betul sebelum dimakan.

Mereka yang memakan telur dan berasa tidak sihat perlu mendapatkan rawatan perubatan, kata SFA dalam kenyataan sebelum ini.

SE boleh terdapat di dalam telur, begitu juga di kulit telur.

"Kerana SE dapat dimusnahkan oleh haba, telur selamat dimakan jika dimasak dengan sempurna," jelas SFA.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 1:26 PM