Muhaamad Hafis Nawawi


Sungai Buloh: Walaupun dibuang daerah selepas dikenakan Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959, namun ketua kumpulan Wan Poca tetap melakukan kegiatan curi kenderaan dan pecah rumah di daerah ini sejak awal tahun ini.

Bagaimanapun, kegiatannya bersama tiga lagi lelaki dan isterinya berusia 16 hingga 35 tahun itu terbongkar selepas ditahan dalam tujuh serbuan bermula 26 Februari hingga 3 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, bertindak atas laporan dan risikan polis kemudiannya melancarkan Ops Lejang Khas dengan menyerbu tujuh lokasi di daerah ini, Petaling Jaya dan Rawang termasuk kedai pajak gadai.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis menahan empat lelaki dan seorang wanita serta merampas sebuah motosikal bersama sembilan rangka, enjin motosikal dan komponen lain membabitkan nilai rampasan RM20,000.

"Bagi barangan rampasan pecah rumah yang dirampas di kedai pajak gadai membabitkan cincin dan rantai tangan emas berserta resit dengan nilai rampasan RM5,000.

"Kumpulan ini mensasarkan motosikal Yamaha LC135, Yamaha RXZ dan Honda EX5," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di sini, hari ini.

Shafa'aton berkata, siasatan mendapati kumpulan berkenaan juga akan menjual motosikal itu kepada pendatang asing dengan harga RM500 hingga RM1,000 mengikut jenis kenderaan dan hasil jualan akan dibahagi sesama mereka.

"Bagi barangan kemas pula akan diberi kepada isteri Wan Poca untuk dipajak ke kedai pajak gadai.

"Suspek utama berusia 24 tahun itu memiliki 19 rekod jenayah lampau membabitkan 16 kes jenayah dan tiga kes dadah di mana dia sebelum ini tinggal di Johor sebelum dikenakan Poca dan dibuang daerah ke Kuang, di sini," katanya.

Beliau berkata, soal siasat suspek mengaku terbabit 15 kes curi kenderaan dan satu kes pecah rumah.

"Motosikal dan rangka yang ditemui dilaporkan hilang di Sungai Buloh, Kuala Selangor dan Kepong.

"Empat lelaki itu direman sehingga esok, manakala isterinya dibebas dengan jaminan polis kerana menjaga anak yang baru berusia dua bulan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 3:48 PM