Nurul Hidayah Bahaudin

Sungai Buloh: Kegiatan curi motosikal didalangi remaja 15 tahun yang aktif di Lembah Klang terbongkar selepas polis menahan tujuh lelaki dalam Op Lejang yang diadakan di daerah ini, minggu lalu.

Operasi pada 7 hingga 11 Jun itu berlangsung di enam lokasi berasingan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan daripada lelaki warga Indonesia berusia 50 tahun yang mendakwa motosikal Yamaha LC135 milik rakannya yang diletakkan di hadapan rumah di Kampung Melayu Sungai Buloh, di sini, hilang pada 20 April lalu.

"Susulan itu, kami melakukan serbuan di enam lokasi berasingan di sekitar daerah itu, Sri Damansara dan Kuala Lumpur yang membawa kepada penahanan tujuh lelaki berusia antara 15 hingga 22 tahun.

"Modus operandi kumpulan ini adalah mencuri motosikal serta meleraikannya untuk mengambil komponen bagi kegunaan sendiri sebelum membuang rangka motosikal di semak dan sungai berhampiran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Shafa'aton berkata, dalam soal siasat, semua suspek mengaku terbabit 25 kes curi motosikal dan kes pecah kedai dobi di daerah ini, Gombak, Petaling Jaya, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

"Kumpulan terbabit yang menyasarkan motosikal jenis Yamaha LC135 dan Honda Wave dipercayai menjual kenderaan itu kepada warga asing pada harga antara RM500 hingga RM1,000.

"Kami berjaya merampas lima motosikal, tujuh rangka motosikal, empat enjin dan beberapa komponen motosikal yang dilaporkan hilang di sekitar Lembah Klang.

"Semua suspek masih dalam tempoh reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam satu lagi Op Lejang berasingan, pihaknya berjaya menahan enam remaja lelaki berusia antara 15 hingga 17 tahun yang terbabit dalam kes curi motosikal di sekitar Lembah Klang.

Katanya, kumpulan yang dikenali sebagai Adam EX5 itu aktif mencuri motosikal Honda EX5 sejak awal tahun ini dan tangkapan ke atas mereka dibuat pada 17 hingga 19 Mei lalu.

"Kumpulan ini mengaku terbabit dengan 15 kes kehilangan motosikal dan kita merampas enam motosikal, satu rangka dan enjin motosikal yang dianggarkan bernilai RM20,000.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 2:51 PM
SHAFA'ATON (tengah) menunjukkan hasil rampasan ketika sidang media tangkapan Ops Lejang Geng Adam Ex5 dan Geng Haikal LC di IPD Sungai Buloh. FOTO Fariz Iswadi Ismail
SHAFA'ATON (tengah) menunjukkan hasil rampasan ketika sidang media tangkapan Ops Lejang Geng Adam Ex5 dan Geng Haikal LC di IPD Sungai Buloh. FOTO Fariz Iswadi Ismail