Nurul Hidayah Bahaudin


LAPAN individu termasuk pasangan suami isteri, adik-beradik dan ipar ditahan dalam tujuh serbuan berasingan pada 10 hingga 16 Julai lalu selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan samun serta pecah rumah.

Serbuan itu dilakukan di sekitar Sungai Buloh, Bandar Sri Damansara, Taman Dato Ahmad Razali Ampang dan Seksyen 26 Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pemandu lori yang memaklumkan rumahnya di Taman Desa Coalfields di Sungai Buloh dipecah masuk pada 8 Julai lalu.

"Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM30,000 selepas beberapa barang kemas miliknya serta wang tunai berjumlah RM400 dilarikan penjenayah.

"Hasil maklumat diterima, kami membuat tujuh serbuan di lokasi berkenaan dan berjaya menahan lapan individu termasuk tiga wanita berusia antara 15 hingga 37 tahun.

"Tujuh individu yang ditahan itu mempunyai hubungan keluarga membabitkan suami isteri, adik beradik serta ipar dengan seorang daripada mereka adalah ketua kumpulan terbabit yang dikenali sebagai Karu dan berusia 25 tahun," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh hari ini.

Shafa'aton berkata, pihaknya turut merampas 37 jam tangan, 44 keping wang tunai, 32 telefon bimbit, tiga televisyen dan sebuah kereta Perodua Viva dengan nilai keseluruhan berjumlah RM80,000.

"Kami turut merampas pelbagai peralatan seperti spanar dan pemutar skru serta dua parang yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatan terbabit.

"Siasatan awal mendapati kumpulan ini aktif sejak tahun lalu dengan memecah masuk kediaman serta melakukan samun di tepi jalan.

"Hasil barang kegiatan samun dan pecah rumah itu kemudiannya dijual di kedai pajak gadai atau persendirian selain untuk kegunaan diri sendiri," katanya.

Shafa’aton menunjukkan parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian samun dan pecah rumah ketika sidang media di IPD Sungai Buloh hari ini. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Shafa’aton menunjukkan parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian samun dan pecah rumah ketika sidang media di IPD Sungai Buloh hari ini. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Beliau berkata, semakan mendapati enam daripada suspek mempunyai rekod jenayah termasuk suspek utama yang mempunyai 15 rekod dengan dua daripadanya membabitkan Perintah Tahanan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

"Dengan penahanan semua suspek terbabit, kami percaya berjaya menyelesaikan 30 kes samun serta pecah rumah di daerah ini, Gombak, Shah Alam serta Sentul.

"Semua suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut 395/457 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan serta pecah rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 12:36 PM