MUHAMMAD Sanusi. FOTO Arkib NSTP
MUHAMMAD Sanusi. FOTO Arkib NSTP
M Hifzuddin Ikhsan

Alor Setar: Pulau Pinang didakwa hanya berhak menggunakan lima peratus air Sungai Muda berdasarkan keluasan kawasan tadahan air pada bahagian sungai yang dimiliki negeri itu.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, konsep adil dan saksama perlu diguna dalam menyelesaikan pertikaian berhubung hak penggunaan sumber air Sungai Muda yang diguna sehingga 56 peratus oleh Pulau Pinang ketika ini.

Jelasnya, Pulau Pinang sewajarnya membayar kos penyelenggaraan berikutan Kedah memiliki sehingga 95 peratus kawasan tadahan di kawasan Ulu Muda dan hanya menggunakan 44 peratus sumber air Sungai Muda.

"Menjadi hak apabila sungai mengalir antara negara maka sumber itu boleh diguna bersama dan mengikut hak riparian antarabangsa, had penggunaan air adalah mengikut keluasan kawasan tadahan dan lembangan sungai yang dimiliki.

"Berlaku pertikaian pada peringkat antarabangsa apabila negara di hulu Sungai Nil bertindak membuat empangan atau sekatan sehingga menjejaskan hak negara di hilir sungai berkenaan menyebabkan hak riparian dirujuk.

"Mengambil kira pandangan ini, kita mendapati kawasan tadahan Sungai Muda yang dimiliki Pulau Pinang hanya lima peratus, maka hak penggunaan air untuk mereka hanya lima peratus sahaja," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, hak riparian juga terkeluar bagi tanah atau tempat yang tidak mempunyai sempadan dengan sungai dan dalam keadaan ini, hanya Seberang Perai berhak menggunakan sumber air Sungai Muda.

"Tetapi apa yang berlaku ialah, Pulau Pinang mengambil sehingga 1,200 juta liter sehari (Mld) air dari Sungai Muda yang dipam ke Empangan Mengkuang sebelum disalurkan ke bahagian pulau sedangkan Kedah hanya menggunakan 780 Mld sumber air sama.

"Merujuk kes yang berlaku di Australia dan Kanada pula, semua negeri di negara berkenaan membayar kos penyelenggaraan kepada negeri yang mempunyai kawasan tadahan air seperti Kedah yang memiliki Ulu Muda.

"Malah, ketika ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga membayar penggunaan aliran air bagi menggerakkan turbin janakuasanya kepada beberapa negeri, apatah lagi negeri yang guna banyak air tetapi tidak mahu bayar," katanya.

Berikutan itu, Muhammad Sanusi mengalu-alukan pembabitkan Kerajaan Pusat sebagai fasilitator atau timbang tara dalam menyelesaikan pertikaian berkenaan kerana tidak adil negeri yang memiliki sumber terus ketinggalan.

"Kedah menjadi hab air kepada wilayah utara Semenanjung dan sepatutnya sumber itu menjadi antara pemangkin utama pembangunan ekonomi negeri, tetapi sebaliknya pula berlaku apabila ekonomi negeri bergerak perlahan.

"Permintaan Pulau Pinang agar Kerajaan Pusat membayar kepada Kedah juga tidak wajar kerana mereka yang menggunakan sumber air dan sepatutnya mereka yang mengeluarkan bayaran kepada Kedah.

"Disebabkan itu, saya tidak akan berhenti bercakap mengenai isu ini sehingga Pulau Pinang membuat bayaran mengikut kadar penggunaan air atau membayar wang penyelenggaraan kawasan tadahan," katanya.

Kedah sebelum ini menuntut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjelaskan bayaran sumber air mentah sebanyak RM50 juta setahun sejak 2010, namun tiada sebarang bayaran dibuat negeri itu sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 5:37 PM