MUHAMMAD Sanusi menjawab soalan media mengenai isu air Pulau Pinang pada sidang media selepas menghadiri  mesyuarat Exco di Wima Darul Aman. FOTO Mohd Yusni Ariffin
MUHAMMAD Sanusi menjawab soalan media mengenai isu air Pulau Pinang pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Exco di Wima Darul Aman. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor memberi amaran kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) agar tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan menyentuh urusan kerajaan negeri itu.

Beliau menegaskan, pihaknya bertanggungjawab mempertahan kepentingan serta hak kerajaan negeri termasuk sebarang pertikaian yang berlaku antara Kedah dan Pulau Pinang.

"Kedah adalah kerajaan berdaulat, kedaulatan kerajaan negeri Kedah ini meliputi kerajaan yang sah, undang-undang yang perlu dipatuhi, sempadan negeri dihormati serta rakyat yang dilindungi.

"Tidak boleh mana-mana syarikat perniagaan seperti PBAPP campur tangan mengenai urusan wilayah, tanah, air, hutan dan sungai dalam negeri ini.

"Saya beri peringatan khususnya individu yang suka bercakap dalam syarikat itu supaya tidak menyentuh mengenai kepentingan dan kedaulatan Kedah, khususnya berkaitan tadahan hujan di mana-mana wilayah negeri ini," katanya ketika sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri akan mengkaji setiap maklumat berkaitan kebergantungan Pulau Pinang terhadap sumber air Kedah dalam usaha menuntut bayaran caj air mentah dari negeri itu.

Katanya, beliau sudah mendengar taklimat terperinci daripada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) berhubung perkara itu yang turut menjelaskan hal berkaitan sejarah serta perjanjian membabitkan kedua-dua pihak dalam isu berkenaan.

"Maklumat ini akan dikaji bagi mengenal pasti proses yang boleh diambil kita selepas ini kerana walaupun Pulau Pinang dakwa mereka ada hak membenarkan air yang mengalir secara semula jadi diambil, namun sebenarnya aliran air Sungai Muda pernah diubah.

"Sejarah itu sedang kita semak dan perinciannya akan saya maklum minggu depan. Sebenarnya air yang mengalir di Sungai Perai, Pulau Pinang juga asalnya dari Kulim, Kedah," katanya.

Ketika ditanya mengenai permintaan pembangkang di negeri itu yang turut mahu Kedah menuntut pampasan sama dari Perlis, Muhammad Sanusi berkata, terdapat perbezaan antara kedua-dua negeri jiran itu kerana kadar penggunaan Perlis jauh rendah berbanding Pulau Pinang.

"Kita juga pernah tuntut pampasan air dari Perlis tetapi negeri itu tidak guna banyak berbanding Pulau Pinang yang 85 peratus bekalan airnya datang dari Kedah.

"Pulau Pinang ini kerap kali campur tangan dengan urusan Kedah termasuk 'kacau' Ulu Muda, sungai dan projek yang kita hendak buat. Sebab itu kita beri maklum balas lebih banyak kepada negeri itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 6:16 PM