MUHAMMAD Sanusi Md Nor. FOTO Bernama.
MUHAMMAD Sanusi Md Nor. FOTO Bernama.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan Persekutuan diharap dapat menjadi fasilitator dalam melaksana rundingan bagi menyelesaikan isu bayaran sumber air mentah yang dituntut Kedah daripada Pulau Pinang sejak 2010.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, campur tangan Kerajaan Persekutuan itu juga termasuk bagi membantu rundingan antara Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Jelasnya, adalah tidak wajar bagi Kedah yang terpaksa berkorban bagi mengekalkan hutan yang luas dan menanggung kos penyelenggaraan sumber serta aliran air, sementara Pulau Pinang pula menikmati faedah dan keuntungan secara percuma.

"Apabila wujud kos terbabit, sewajarnya ia turut dipikul Pulau Pinang selaku pihak penerima faedah. Apatah lagi, kos melepas akibat pengekalan kawasan tadahan di Ulu Muda semakin hari semakin meningkat.

"PBAPP patut membayar caj pengekstrakan air dari sumber air mentah Kedah agar manfaatnya dapat dikongsikan secara bersama bagi rakyat di kedua-dua negeri," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, merujuk kepada Perjanjian 1985 antara kedua negeri, ia adalah persepakatan yang dicapai bertujuan menjamin bekalan air dari Ulu Muda yang terletak di Kedah.

Katanya, perjanjian itu perlu disemak semula berikutan terdapat keperluan bekalan air yang semakin meningkat serta keperluan kepada pembangunan dan mengekalkan kelestarian alam semulajadi bagi tujuan mengekalkan sumber air.

"Jaminan ini hanya bermaksud menjamin bekalan air kepada Pulau Pinang bukan jaminan bekalan air mentah secara percuma selama-lamanya.

"Selepas 35 tahun, keperluan untuk mengekalkan bekalan sumber air agar jaminan berterusan telah berubah mengikut keperluan dan permintaan bekalan air terawat pada masa kini," katanya.

Beliau menegaskan, Syarikat Air Darul Aman (SADA) turut membayar caj yang dikenakan LSANK bagi tujuan membekalkan bekalan air terawat kepada seluruh rakyat Kedah sedangkan Pulau Pinang tidak membayar apa-apa.

Katanya, penggunaan air di Kedah adalah kira-kira 800 juta liter sehari (mld), sedangkan PBAPP yang mengekstrak 80 peratus sumber air dari Sungai Muda menggunakan 1,100 mld.

Katanya, disebabkan itu caj sama patut dikenakan kepada PBAPP, walaupun sumber air yang diekstrak adalah di sebelah sempadan Pulau Pinang kerana sumber asal air adalah dari Sungai Muda di Kawasan Tadahan Ulu Muda di Kedah.

Berita berkaitan:

  • Pulau Pinang sedia runding, hentikan perang mulut dengan Kedah [METROTV]
  • PBAPP perlu jawab, bukan berdiam diri
  • PBAPP jangan masuk campur urusan Kedah
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2020 @ 10:55 AM