CHOW Kon Yeow. FOTO arkib NSTP
CHOW Kon Yeow. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang sedia berjumpa dengan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor di mahkamah berhubung isu caj air mentah.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri itu akan mempertahankan hak riparian sumber air negeri itu.

Beliau berkata, Sungai Muda bukan milik eksklusif Kedah sebaliknya sebahagian sungai itu adalah 'milik' Pulau Pinang dan Menteri Besar Kedah tidak mempunyai asas untuk menuntut pembayaran daripada Pulau Pinang kerana mengabstrak air mentah dari Sungai Muda.

"Kami bersedia berjumpa dengan Menteri Besar Kedah di mahkamah sekiranya pihak tersebut ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap isu caj air mentah yang dibangkitkan sebelum ini," menurutnya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, fakta bahawa Sungai Muda mengalir melalui Pulau Pinang didokumentasikan dalam Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985 (Akta 325) dan termaktub sebagai Akta dalam Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Kedah dilaporkan tidak menolak kemungkinan membawa isu tuntutan bayaran caj air mentah terhadap Pulau Pinang ke mahkamah sekiranya masalah itu tidak dapat diselesaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 6:44 PM