Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO Bernama
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO Bernama
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan negeri tetap menuntut bayaran bekalan air mentah Sungai Muda daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bagi menampung kos memulihara kawasan tadahan air Ulu Muda.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tuntutan itu dibuat menerusi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 selain tertubuhnya Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) yang berfungsi untuk mengumpul pendapatan bekalan air mentah.

"Kita perlu tuntut bayaran bekalan air mentah ini untuk kekalkan sumber air dari kawasan tadahan. Kita pula perlu terus pulihara kawasan tadahan supaya bekalan air mencukupi untuk kegunaan penduduk Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

"Jadi, saya rasa dalam tamadun moden ini apabila sudah ada undang-undang dan akta baru, kita perlu ikut, tak payah sampai ke mahkamah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan media yang dikeluarkan PBAPP pada 12 Ogos 2017 yang kembali tular, semalam.

Kenyataan itu menyebut lapan sebab Pulau Pinang tidak perlu diminta untuk membayar caj air mentah antaranya ialah Skim Air Sungai Muda dibuka secara rasmi oleh Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein pada 9 November 1973 tidak menyebut mengenai caj air mentah.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, sikap berdiam diri PBAPP dengan tidak menjawab surat tuntutan kerajaan Kedah bukanlah cara terbaik untuk menyelesaikan sesuatu perkara berbangkit antara kedua-dua negeri.

"Sampai bila PBAPP akan berdiam diri tidak menjawab surat tuntutan kerajaan Kedah. Perbadanan itu sudah meraih keuntungan tinggi hasil bekalan air mentah Kedah.

"Saya rasa dalam masa sama syarikat perniagaan ini (PBAPP) tak patutlah hentam kerajaan negeri (Kedah). Dia bukan lawan kita pun, PBAPP ini sudah dapat untung tapi kenapa kacau kita dengan suruh buat itu dan ini.

"Esok kalau alirkan Sungai Muda ke tempat lain, bina 'belat' (penyekat) air di Pinang Tunggal, baru mereka tahu, air sungai kering bolehlah mereka cari ikan darat di sungai di Pulau Pinang," katanya.

Terdahulu, Muhammad Sanusi ditemui selepas menyampaikan komputer riba dan pelan data kepada 50 pelajar daripada kategori B40 anak Kedah Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, hari ini.

Semalam, Muhammad Sanusi dipetik berkata, Kedah menuntut PBAPP menjelaskan bayaran sumber air mentah sebanyak RM50 juta setahun, sebelum mencampuri urusan berkaitan sumber air di negeri berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 4:29 PM