MUHAMMAD Ammar Izzat Zainuddin. FOTO Rosli Ilham
MUHAMMAD Ammar Izzat Zainuddin. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Chukai: Remaja yang dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak malam Rabu lalu ditemukan tidak bernyawa di bawah Jambatan Sungai Kampung Teladas di sini, malam tadi.

Mayat Muhammad Ammar Izzat Zainuddin, 16, ditemui di kawasan itu pada 12.30 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai berkenaan selepas ditemui terapung bersama motosikal Honda EX5 yang dipercayai ditunggangnya ketika kejadian.

"Mayat mangsa ditemui penduduk kampung di celah longgokan kayu di bawah jambatan sebelum penduduk memaklumkan kepada polis.

"Kita percaya mangsa menunggang motosikal itu dari arah Air Putih dan hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kanan jalan lalu terjatuh ke dalam sungai itu," katanya.

Hanyan berkata, siasatan awal tidak menemui sebarang kesan jenayah dan pegawai perubatan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian dada.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 6:16 PM