BOMBA melakukan kerja menyelamat di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA melakukan kerja menyelamat di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Bomba
BERNAMA

Chukai: Identiti enam mangsa terkorban dalam nahas dua Proton Persona yang bertembung di Kilometer 153 Jalan Jerangau-Jabor di Cheneh dekat sini petang semalam, dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mangsa maut adalah empat penumpang di dalam Proton Persona yang pertama iaitu Nor Nadia Natasha Abu Bakar, 23; Nur Syafinaz Naura Saiful Azwan, 2; Tuan Yah Dollah, 61; dan Rosliza Mat Hussin, 38.

Katanya, pemandu kereta itu, Shah Rezzal Zanzalani, 27, dan tiga penumpang lain iaitu Wan Muhamad Adam Wan Muhamad Khalil, 11; Wan Alya Farhana Wan Muhamad Khalil,15; dan Nur Syafana Nasha Saiful Azwan, 2, mengalami kecederaan.

"Manakala di dalam Proton Persona kedua pula, mangsa yang maut adalah Abd Halim Ismail, 71 dan Alisha Mardhiah Muhammad Ubaidillah Zikri, 2. Pemandu kereta Muhammad Ubaidillah Zikri Adnan, 26 dan dua penumpang lain Nurul Fatihah Azman, 28, dan Zaiton Mohamad, 57, mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan, tengah malam tadi.

Hanyan berkata berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku kira-kira 5 petang semalam itu berpunca apabila kereta dipandu Shah Rezzal yang dalam perjalanan dari Bukit Besi, Dungun ke Cheneh dekat sini, hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

Situasi itu menyebabkan kenderaan dipandu Muhammad Ubaidillah Zikri dari Perasing dekat sini menghala ke Batu Rakit, Kuala Nerus, tidak dapat mengelak kerana jarak yang dekat dan menyebabkan kedua-dua kereta bertembung secara berhadapan, katanya.

"Empat mangsa maut di lokasi kejadian, manakala dua mangsa iaitu Alisha Mardhiah dan Rosliza meninggal dunia di Hospital Kemaman.

"Mayat semua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman, manakala mangsa yang cedera dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut," katanya sambil memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2023 @ 7:46 AM