FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Rosli Ilham


Chukai: Pekerja kedai makan maut dipercayai menjadi mangsa langgar lari sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Ibok-Seri Bandi dekat sini, tengah malam tadi.

Dalam kemalangan pada 12.40 tengah malam itu pagi itu menyebabkan penunggang motosikal terbabit, Nur Elani Mat Kindah, 30, maut di tempat kejadian, manakala pemandu kereta berusia 58 tahun bertindak melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mangsa yang menunggang motosikal Honda C100B dalam perjalanan dari arah Chukai menghala ke Seri Bandi.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggangi mangsa dikatakan berlanggar dengan sebuah kereta.

"Kemalangan itu menyebabkan mangsa terjatuh di kanan jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala.

"Siasatan awal polis mendapati pemandu kereta terbabit bertindak melarikan diri selepas melanggar motosikal mangsa," katanya.

Menurutnya, polis yang menjalankan siasatan berjaya menemui kereta terbabit di bandar ini kira-kira 20 kilometer dari tempat kejadian.

"Hasil soal siasat, pemandu kereta terbabit mendakwa melanggar lembu dan bukan melanggar mangsa," katanya.

Hanyan berkata, polis kemudiannya menahan pemandu terbabit untuk siasatan lanjut dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati pemandu itu negatif dadah.

"Polis akan membawa pemandu kereta terbabit ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

"Mayat penunggang terbabit dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya untuk urusan pengebumian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 2:21 PM