Mangsa yang maut Ammir Hussein Mohamad, (belakang duduk kiri) dan dua anaknya Ammzar Husszair Al Hussein Ammir Hussein, (berdiri depan kanan)  dan Ammzar Hussnayan Al Hussein Ammir Hussein satu tahun (atas riba Ammir Hussein).
Mangsa yang maut Ammir Hussein Mohamad, (belakang duduk kiri) dan dua anaknya Ammzar Husszair Al Hussein Ammir Hussein, (berdiri depan kanan) dan Ammzar Hussnayan Al Hussein Ammir Hussein satu tahun (atas riba Ammir Hussein).
Rosli Ilham


Dungun : Tiga beranak dikenal pasti mangsa kemalangan maut di Kilometer 154, Jalan Jerangau-Jabur, berhampiran Hentian Sebelah Bandar Cheneh Baru, petang tadi.

Mangsa yang maut ialah Ammir Hussein Mohamad, 38, dan dua anaknya iaitu Ammzar Husszair Al Hussein Ammir Hussein, 4 tahun dan Ammzar Hussnayan Al Hussein Ammir Hussein, setahun.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, isteri Ammir Hussein, Norhafizah Sazwa Harun, 38, yang memandu kenderaan itu cedera dan dikejarkan ke Hospital Kemaman.

"Norhafizah Sazwa yang mengandung itu cedera di bahagian perut dan seorang anak angkatnya, Ammzar Hussniah Ammir Hussein Abdul Azim, 8, dilaporkan kritikal dan menerima rawatan di Hospital Kemaman.

"Ammir Hussein yang tersepit di tempat duduk penumpang depan maut di tempat kejadian sementara dua anaknya itu disahkan meninggal ketika menerima rawatan di Hospital Kemaman," katanya.

Hanyan berkata, ketika kejadian Norhafizah bersama suami dan anak mereka dalam peejalanan dari rumah mereka di Taman Bukit Kuang Permai, Kemaman dalam perjalanan untuk menjual sabun di Cheneh Kemaman.

"Sementara lori yang dipandu lelaki berusia 44 tahun itu dari arah Mak Lagam untuk mengisi muatan di Ladang Perwira Cheneh.

"Mayat ketiga-tiga beranak itu dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kemaman," katanya.

Hanyan berkata, siasatan mendapati pemandu lori terbabit tidak mempunyai rekod lampau dan hasil ujian air kencing juga negatif mengandung dadah.

"Siasatan lanjut berhubung dengan kemalangan itu sedang dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 8:26 PM