Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: "Tiada rasa sakit, ibarat kena gigit semut sahaja," kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ahmad Samsuri berkata demikian selepas ditemui media ketika Program Vaksin Covid-19 Peringkat Negeri Terengganu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.

Beliau menjadi individu pertama di Terengganu menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech yang dilakukan Ketua Jururawat HSNZ Kuala Terengganu, Sujanah Muhimin pada jam 4.05 petang tadi.

Selain Ahmad Samsuri, dua individu lain yang turut menerima suntikan berkenaan adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak dan Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus.

Ahmad Samsuri berkata, proses suntikan yang diterimanya sebagaimana suntikan biasa dan tiada rasa sakit atau kesan luar biasa.

"Tiada rasa sakit, ibarat kena gigit semut sahaja dan selepas 15 ke 30 minit, badan saya tidak rasa apa-apa kesukaran.

"Jadi, saya harap semua rakyat yang menunggu giliran masing-masing tidak berasa takut dan mengambil suntikan vaksin sebagai langkah pencegahan," katanya.

Sementara itu, Dr Nor Azimi berkata, Terengganu mendapat 16,330 dos vaksin bagi fasa pertama semalam.

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech. FOTO GHAZALI KORI
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech. FOTO GHAZALI KORI

"Petugas barisan hadapan di Terengganu termasuk kira-kira 8,000 kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu akan menerima suntikan awal bermula Selasa ini.

"Dos selebihnya akan diberikan kepada barisan hadapan lain seperti Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19

Kebangsaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 6:36 PM