ANTARA pemimpin negara yang sudah menerima vaksin Covid-19. FOTO NSTP.
ANTARA pemimpin negara yang sudah menerima vaksin Covid-19. FOTO NSTP.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Selepas Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama disuntik vaksin Covid-19 Pfizer-BioNtech pada 24 Februari lalu, semakin ramai pemimpin politik yang lain mengikut jejak langkahnya.

Berdasarkan carian Harian Metro, antara figura yang sudah menerima vaksin itu ialah Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Radzi Md Jidin dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Timbalan Menteri Kesihatan 1 Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Turut sama tunaikan tanggungjawab terima vaksinasi melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail,

Selepas lebih setahun penularan wabak Covid-19 berasal dari Wuhan, China melanda negara, prosedur suntikan vaksin terhadap Perdana Menteri serta lima petugas barisan hadapan termasuk Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Rabu lalu menandakan Malaysia memasuki fasa terakhir perang melawan pandemik itu.

Suntikan vaksin Covid-19 dikenali sebagai Comirnaty keluaran Pfizer-BioNtech itu menjadi titik tolak awal untuk negara mencapai objektif imuniti komuniti, ditambah vaksin keluaran Astra Zeneka, Sinovac, Cansino dan Gamaleya.

Carian Harian Metro mendapati selain pemimpin politik berkenaan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali juga sudah disuntik vaksin Covid-19.

Tentunya apabila figura kepemimpinan menunjukkan teladan baik, harapannya seluruh penduduk Malaysia juga turut serta.

Sehingga jam 3 petang hari ini, seramai 1,257,594 yang sudah mendaftar untuk menerima vaksin di bawah PICK.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 6:23 PM